Maqam Nabi Sulaiman
Nabi Allah Sayyidina Sulaiman merupakan putera kepada Nabi Allah Sayyidina Dawud alaihimas-salam, {Dan Kami kurniakan kepada Nabi Dawud (seorang anak bernama) Nabi Sulaiman; ia adalah sebaik-baik hamba (yang menurut perintah Kami); sesungguhnya ia adalah sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ketaatan)} [Sad: 30], {Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat Kenabian dan kerajaan) Nabi Dawud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: "Wahai umat manusia, kami telah diajar memahami bahasa burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata"} [An-Naml: 16]. Nama beliau disebutkan di dalam al-Quran al-Karim sebanyak (17) kali. Dikatakan bahawa Sayyidina Sulaiman alaihis-salam hidup dalam tempoh antara 970 SM sehingga 931 SM, dan beliau wafat ketika berusia (52) tahun. Beliau merupakan salah seorang nabi Bani Israil. Kerajaan beliau telah disebutkan di dalam al-Quran al-Karim, begitu juga tentera beliau yang terdiri daripada binatang buas, burung, jin, dan manusia serta sifat-sifat lain, seperti keupayaan beliau memahami bahasa burung, semut, dan haiwan. Antara tentera beliau ialah burung Hud-hud yang terdapat dalam kisah ratu negeri Saba'. Allah Taala berfirman: {Dan dihimpunkan untuk Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur kehadirannya (mengikut kumpulan masing-masing).... Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa burung-burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung Hud-hud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?.... Burung Hud-hud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu ia datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa berita yang diyakini kebenarannya. Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka, dan ia telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan), dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar. Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya menyembah matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka amal-amal mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (kebenaran); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk.... Nabi Sulaiman berkata: "Wahai ketua-ketua kaum, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang kepadaku dalam keadaan berserah diri (memeluk Islam)?" Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu; dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah". Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini adalah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku mengingkari (nikmat-Nya). Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang kufur (nikmat Allah) maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.... Dan ia dihalangi (daripada beriman) oleh apa yang ia sembah dahulu dengan meninggalkan ibadat kepada Allah; sesungguhnya adalah ia (dahulu) dari kaum yang kafir. (Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam istana ini". Maka apabila ia melihatnya, disangkanya kolam air yang luas, serta ia menyingsing pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah istana yang licin berkilat, diperbuat dari kaca". Raja perempuan itu berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang) aku berserah diri (memeluk Islam) bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam"} [An-Naml: 22-44]. Allah telah mengurniakan kepadanya segala apa yang diperlukan oleh seorang raja daripada segi bilangan, alat-alat, tentera-tentera, pasukan daripada jin, manusia, burung, binatang buas, syaitan-syaitan yang berkelana, serta ilmu pengetahuan, kefahaman, dan kebolehan menterjemah bahasa makhluk-makhluk. Sayyidina Sulaiman alaihis-salam wafat ketika beliau sedang tekun beribadat kepada Tuhannya dengan bersandar pada tongkatnya sehingga maut menjemputnya dalam keadaan demikian. Syaitan-syaitan tidak mengetahui berita kewafatannya sehinggalah seekor syaitan masuk melalui lubang di Baitulmuqaddis lalu melihat kepada Sulaiman alaihis-salam dan mendapatinya telah jatuh tersungkur dalam keadaan mati selepas anai-anai memakan tongkatnya yang beliau sandari. Sebelum itu, apabila syaitan-syaitan cuba menyelinap dan memandang kepada Sulaiman, mereka akan terbakar. Maka sedarlah syaitan-syaitan itu akan kewafatannya setelah mereka berada dalam tempoh setahun penuh dalam azab dan kerja yang menghinakan. Allah Taala berfirman: {Setelah Kami menetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka mengetahui perkara yang ghaib, tentulah mereka tidak tinggal lama dalam azab (kerja berat) yang menghinakan}. Dikatakan: Sesungguhnya tempoh pemerintahan beliau adalah selama empat puluh tahun alaihis-solatu was-salam.
Mengenai Tapak
Maqam ini terletak di kampung Sarfa, barat laut bandar Karak, dan kira-kira (160 km) dari ibu kota Amman. Pelbagai elemen bangunan telah dipulihkan, selain tembok batu dengan panjang kira-kira (400) meter.
Maklumat Lawatan
Waktu Operasi
Lawatan dibukaLokasi
Sarfa – Karak

