Maqam Nabi Hud
Nabi Allah Sayyidina Hud alaihis-salam ialah seorang nabi Arab yang diutus oleh Allah Taala kepada kaum 'Ad. Terdapat sebuah surah dalam al-Quran al-Karim yang dinamakan dengan nama beliau, dan nama beliau telah disebutkan di dalam al-Quran sebanyak tujuh kali; lima kali dalam surah Hud, sekali dalam surah asy-Syu'ara', dan sekali dalam surah al-A'raf. Tempat tinggal kaum 'Ad terletak di tanah Al-Ahqaf di selatan Semenanjung Tanah Arab. Al-Ahqaf terletak di utara Hadramaut, manakala di utara Al-Ahqaf adalah kawasan Ar-Rub'ul Khali, dan di timurnya pula adalah Oman. Kedudukan negeri mereka pada hari ini merupakan padang pasir yang tandus, tiada penghuni dan tiada kediaman. Allah Taala berfirman: {Dan kepada kaum 'Ad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada bagi kamu sebarang Tuhan melainkan Dia. Kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara yang dusta. Wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah bagi menyampaikan ajaran Allah ini. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku. Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk memikirkannya)? Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, supaya Ia menghantarkan hujan lebat kepada kamu, dan menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!" Mereka berkata: "Wahai Hud! Engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang sah, dan kami tidak akan meninggalkan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya kepadamu! Kami tidak mengatakan (mengenai dakwaanmu) melainkan (dengan menyangka) bahawa sesetengah dari tuhan-tuhan kami telah menimpakanmu dengan sesuatu penyakit gila". Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya aku menjadikan Allah sebagai saksiku, dan saksikanlah kamu sendiri bahawa aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu; (Melakukan syirik) dengan sesuatu yang lain dari Allah. Oleh itu, jalankanlah tipu daya kamu semua terhadapku, kemudian janganlah kamu bertangguh lagi. Sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiada sesuatu makhluk pun di muka bumi ini melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. Jika kamu membelakangkan (seruanku), maka sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu apa yang diutuskan kepadaku untuk menyampaikannya; dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum yang lain, dan kamu pula tidak akan dapat mendatangkan sebarang bahaya kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal atas tiap-tiap sesuatu". Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud bersama-sama dengan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya, dengan rahmat dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab yang berat. Dan itulah kaum 'Ad, mereka mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada Rasul-rasul-Nya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang sombong takbur, lagi bersikap degil. Dan mereka diekori dengan laknat di dunia ini, dan begitu juga pada hari kiamat. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum 'Ad itu telah kufur kepada Tuhan mereka. Ketahuilah! Kebinasaanlah akhirnya bagi kaum 'Ad, iaitu kaum Nabi Hud}.
Mengenai Tapak
Masjid ini terletak di salah sebuah bukit Jerash, di bandar Hud, 45 km dari ibu kota, Amman. Ia merangkumi dewan solat untuk lelaki, dewan solat untuk wanita, kediaman untuk imam, sekolah al-Quran, dan kemudahan wuduk.
Maklumat Lawatan
Waktu Operasi
Dari 8:30 PG hingga 7:00 PTGLokasi
Kampung Nabi Hud - Jerash

