Gua Nabi Isa as
Sayyidina Isa putera Maryam alaihis-salam adalah Nabi Allah daripada kalangan Ulul Azmi (rasul-rasul yang mempunyai keteguhan hati yang kental). Beliau merupakan mukjizat Allah Taala yang mana Dia telah menciptakannya tanpa bapa. Beliau adalah daripada kalangan Ulul Azmi, dan Allah Taala telah mengutusnya kepada Bani Israil untuk memimpin mereka kepada Kitab Allah yang suci lagi baharu, iaitu Injil yang diturunkan oleh Allah Taala kepadanya: {Dan apabila Nabi Isa datang membawa keterangan-keterangan yang nyata, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmat (pengajaran Nabi-nabi), dan untuk menerangkan kepada kamu sebahagian dari perkara-perkara agama yang kamu berselisihan padanya. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku"} Az-Zukhruf: 63. Sayyidina Isa alaihis-salam telah disebutkan di dalam al-Quran sebanyak 25 kali. Allah Taala menyebutkan dalam al-Quran al-Karim bahawa Sayyidina Isa alaihis-solatu was-salam telah dilahirkan oleh Maryam binti Imran setelah beliau mengandungkannya melalui mukjizat ketuhanan, dalam keadaan beliau masih perawan tanpa sebarang campur tangan manusia, tetapi dengan perintah dan kalimah daripada-Nya. Allah Taala telah mengurniakan kepadanya mukjizat-mukjizat seperti menyembuhkan orang buta (sejak lahir), penyakit sopak, menghidupkan orang mati, dan membentuk burung daripada tanah lalu meniup padanya maka jadilah ia burung yang hidup dengan izin Allah Taala dan selainnya. Al-Quran al-Karim menegaskan bahawa Sayyidina Isa alaihis-salam telah diangkat oleh Allah ke langit dengan jasad dan rohnya sebagai rahmat dan penghormatan baginya ketika beliau berusia tiga puluh tiga tahun. Orang-orang Yahudi tidak membunuhnya dan tidak juga menyalibnya, akan tetapi diserupakan bagi mereka (orang lain yang disangka Isa). Beliau berada di langit sehingga sekarang: {(Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisi-Ku, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat"} Ali Imran: 55. Begitu juga, sesungguhnya Sayyidina Isa alaihis-salam adalah seorang Muslim seperti semua rasul dalam Islam, iaitu beliau tunduk kepada perintah Allah, dan menasihati para pengikutnya agar memilih jalan yang lurus (Sirotol Mustaqim): {Maka ketika Nabi Isa merasa (dan mengetahui) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?" Orang-orang "Hawariyun" (penyokong-penyokong Nabi Isa) menjawab: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah; kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Isa) sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)"}.
Mengenai Tapak
Gua Nabi Isa as terletak di Umm Qais - Pentadbiran Irbid.
Maklumat Lawatan
Waktu Operasi
Dari 8:30 PG hingga 7:00 PTGLokasi
Abu Alanda - Amman

